Wednesday, June 1, 2011

Hata Wahari letak jawatan presiden NUJ

May 31, 2011

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Bekas wartawan kanan Utusan Malaysia Hata Wahari melepaskan jawatan presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung NUJ V. Anbalagan dalams satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata Anbalagan, Majlis Eksekutif telah melantik Naib Presiden NUJ Chin Sung Chew untuk jawatan nombor satu itu.

“Majlis Eksekutif mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hata atas sumbangan kepada kesatuan,” katanya.

Hata (gambar) telah dipecat dari Kumpulan Utusan kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemari imej syarikat milik Umno itu.

Syarikat itu memaklumkan keputusannya dalam satu surat bertarikh 21 April 2011, yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan.

Hata sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Dia telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh Kumpulan Utusan.

Hata Wahari lepas jawatan presiden NUJ
Jimadie Shah Othman
Mei 31, 11
3:59pm
Malaysiakini - Hata Wahari melepaskan jawatan sebagai Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) berkuatkuasa hari ini.

NONESehubungan dengan itu, majlis eksekutifnya telah melantik Naib Presiden Chin Sung Chew (kanan) sebagai presiden yang baru berkuatkuasa tarikh yang sama.

"Majlis eksekutif mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Hata atas sumbangan kepada Kesatuan," kata Setiausaha Agung NUJ V Anbalagan.

Sementara itu, Hata ketika dihubungiMalaysiakini berkata, beliau mengambil keputusan kerana bimbang NUJ mengalami masalah pendaftaran.

Katanya, beliau menerima surat bertarikh 13 Mei daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Selangor dan Wilayah Persekutuan memaklumkan bahawa beliau hilang kelayakan sebagai presiden NUJ.

Menurutnya, pengarah jabatan itu Anita Ahmad memberitahu bahawa beliau hilang kelayakan sebagai presiden kerana tidak lagi mempunyai majikan selepas dipecat Utusan Malaysia.

Perkara itu menurut peruntukan dalam Seksyen 2, Akta Kesatuan Sekerja 1959.

"Oleh sebab itu saya letak jawatan. Ini pengorbanan saya supaya NUJ terus berjalan seperti biasa," katanya yang merasakan dirinya masih ahli kesatuan itu.

Nafi desakan dalaman

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat NUJ di pejabatnya di Brickfields sebentar tadi.

Hata juga menafikan terdapat desakan daripada dalam supaya berbuat demikian atau mahu menyertai parti politik.

NONESelepas dipilih sebagai presiden sebelas bulan lalu, Hata -- yang terkenal dengan kelantangannya -- mencetuskan pelbagai kontroversi apabila mengkritik pengurusan Utusan Malaysia secara terbuka.

Selepas mengubah imej NUJ kepada sebuah kesatuan yang sangat kritikal, wartawan kanan di akhbar milik Umno itu menerima padah apabila didapati bersalah kerana menjatuhkan imej syarikat.

Sementara itu, Chin ketika dihubungi Malaysia enggan mengulas berhubung jawatan baru dan rancangan masa depannya kerana mahu berbincang dengan jawatankuasanya terlebih dahulu.

Chin juga merupakan presiden NUJ cawangan Sin Chew Media Corp sejak tahun 2000. Beliau dipilih sebagai setiausaha agung NUJ pada 1999 dan sebelum menjawat naib presiden dua tahun kemudiannya.

Wednesday, May 18, 2011

KONGRES BURUH NASIONAL NEGERI SELANGOR


Time
Sunday, May 22 · 8:00am - 2:00pm

Location
KOMPLEKS BELIA & KEBUDAYAAN SELANGOR
SEKSYEN 7(BERHAMPIRAN POLIKLINIK SHAH ALAM)
Shah Alam, Malaysia

Created By

More Info
-PROGRAM ANJURAN BERSAMA SAYAP BURUH KOMPONEN PAKATAN RAKYAT
-DAPATKAN KEMEJA-T PERCUMA DI PINTU MASUK(KEHADIRAN AWAL)

Presiden NUJ: Saya kekal berkecuali, tidak sokong mana-mana parti


May 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Hata Wahari menegaskan beliau terus bersikap berkecuali dan tidak memihak mana-mana parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Sebaliknya jelas, Hata, beliau hanya menggunakan platform yang ditawarkan parti politik hanya untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa media dalam negara ini masih dikongkong dan dikuasai oleh parti-parti politik yang perlu dibebaskan.

“Saya sentiasa bersikap berkecuali, saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik... itu adalah intipati perjuangan saya selama ini dan dalam forum-forum yang saya sertai saya tidak minta orang ramai agar sokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.

“Sebagai Presiden NUJ, saya tidak memihak mana-mana parti politik, saya hanya gunakan forum yang ditawarkan untuk memberitahu orang ramai bahawa media kita masih dikongkong... ini perjuangan saya, bukan untuk parti-parti politik, saya hanya cakap media kita harus dibebaskan baru kita boleh beri khidmat yang adil kepada parti-parti politik,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas mempertahankan pendirian itu, Hata berkata, dakwaan mengatakan beliau memihak kepada Pakatan Rakyat adalah tidak benar sama sekali.

“Kalau anda datang ke forum saya, saya tidak suruh orang ramai sokong PAS, PKR atau Umno, saya hanya tuntut kebebasan media agar tidak dikongkong parti politik.

“Ini adalah prinsip saya, saya tidak sokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional dan saya mempunyai pendirian dan berkecuali dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung NUJ V. Anbalagan akhir minggu lalu, yang meminta agar bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu mematuhi pendirian kesatuan itu untuk bersikap berkecuali dengan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Kata Anbalagan, sebagai kesatuan mewakili 1,400 ahli, bukan dasar kesatuan untuk cenderung menyokong mana-mana parti di negara ini.

“Majlis Eksekutif NUJ telah menjelaskan pendirian kesatuan untuk pengetahuan Hata pada mesyuarat Sabtu lalu.

“Kalau dia masih lagi bercakap atas platform pembangkang, terpulang kepada Majlis Eksekutif untuk menentukan kedudukannya kerana (perbuatan) Hata boleh menjejaskan imej NUJ,” katanya.

Difahamkan, NUJ “kurang senang” dengan beberapa tindakan Hata yang dilihat cenderung menyokong pembangkang antaranya memberi kenyataan kepada portal-portal propembangkang.

Terbaru, Hata tampil berceramah di pentas PAS bagi menyatakan pandangannya terhadap Utusan Melayu.

Anbalagan berkata, pihak kesatuan telah meminta pandangan dan nasihat Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja mengenai kedudukan Hata sebagai Presiden NUJ memandangkan beliau telah dipecat oleh majikannya.

Jelas Hata, beliau bersedia untuk menyertai mana-mana platform atau jemputan untuk menyampaikan ceramah oleh mana-mana parti politik demi memastikan media dibebaskan dari kongkongan parti politik.

“Perjuangan saya adalah menuntut kebebasan media secara keseluruhan termasuk bebas dari parti-parti politik. Sebagai contoh mana-mana pihak yang mahu terbitkan akhbar tidak perlukan permit.

“Tapi masalah yang ada sekarang jika akhbar itu menyokong Pakatan Rakyat nak dapatkan permit pun susah, itu sebab media ini tidak boleh dikongkong dengan parti politik, biar ia bergerak sendiri.

“Sekiranya mana-mana parti politik termasuk Umno sediakan platform kepada saya untuk bercakap perkara ini, saya tiada masalah,” katanya. http://www.themalaysianinsider.com

Tuesday, May 17, 2011

KATANYA BERITA BAIK UNTUK GURU..

Insentif guru: Kesatuan sekerja kecewa tak menyeluruh

May 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Beberapa kesatuan sekerja perkhidmatan guru mendesak kerajaan meneliti semula insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, yang disifatkan sebagai tidak memenuhi permintaan dan keperluan utama warga pendidik keseluruhan peringkat.

Desakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap insentif yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada keseluruhan guru.

Laporan Berita Harian memetik mereka kecewa kerana enam tuntutan yang dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada pertemuan 28 April lalu tidak diberi perhatian termasuk tuntutan kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid.

Selain itu, tuntutan supaya kerajaan mewujudkan jawatan gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilakanakan.

Mereka mendakwa kerajaan juga tidak memberi perhatian terhadap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di sebanyak 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Dalam perutusan sempena Hari Guru semalam, Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya ‘time-based’ perlu diberi nafas baru.

“Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.

“Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya,” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

“Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan,” kata Najib.

Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Najib berkata, mereka juga boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

“Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

“Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” kata beliau.

Selanjutnya, Najib menambah, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan.

Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Dalam pada itu, Presiden NUTP Hashim Adnan berkata insentif yang diberikan tidak membabitkan guru yang mengajar di sekolah rendah dan menengah, walhal permintaan sudah beberapa kali disuarakan sebelum ini.

Dipetik akhbar harian itu, beliau berkata, NUTP kecewa kerana kenaikan gred hanya dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan, menyebabkan pengetua dan GPK yang bersara tahun ini tidak dapat menikmati insentif berkenaan.

Yang Dipetua GMGBM Ruslan Madon pula berkata apa yang diperjuangkan gabungan itu sejak empat tahun lalu gagal direalisasikan sedangkan kenaikan gred bagi guru besar sekolah kurang murid jika dilaksanakan hanya membabitkan RM5 juta stahun.

Sementara itu, Presiden KKGLMSM Jamale Paiman memberitahu pihaknya berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan 160,000 PPPLD daripada jumlah keseluruhan 430,000 guru terjamin. http://www.themalaysianinsider.com

Monday, May 16, 2011

Izzah :Kontrak baru buat para pekerja

"Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan laporan Bank Dunia yang berkata lebih sejuta rakyat Malaysia telah berpindah keluar negara untuk bekerja. Sesiapa sahaja boleh membaca laporan tersebut untuk memperoleh erti dan makna sendiri, tetapi apa yang jelas lagi zahir ialah negara kita telah mengalami situasi “brain drain”, yang bermakna tenaga kerja berkualiti kita semakin lama semakin hilang.

Bagi saya, para pekerja tanpa mengira sektor merupakan tulang belakang negara kita. Tanpa kaum pekerja, apakah mungkin kita mencapai pertambahan GDP tahunan antara 4-7% setiap tahun dalam dekad yang baru berlalu? Tanpa warga pekerja, apakah mungkin halatuju ekonomi negara mampu diubah dari berpendapatan pertengahan (middle income economy) ke berpendapatan tinggi? Jika kita tidak memfaktorkan golongan pekerja, apakah cita-cita Malaysia untuk mencapai status negara maju di ambang tahun 2020 mampu menjadi realiti?

Amatlah jelas tidak.

Maka saya terpanggil untuk bertanya, bilakah akan terlaksana dasar gaji minima? Bukankah masanya telah tiba, setelah hampir 48 tahun wujudnya Malaysia, untuk kita benar-benar menunjukkan penghargaan ikhlas kita kepada para penoreh getah, penyapu sampah, buruh binaan, pemandu bas, pekerja restoran fast food, dan ramai lagi yang masih menampung hidup dengan kurang daripada RM700 sebulan?

Oleh itu, sempena sambutan Hari Pekerja saya pertengahkan tiga soalan kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Razak:

1) Apakah tahap gaji minima yang akan dicadang Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (National Wage Consultation Council)? Adakah Kerajaan Persekutuan betul-betul berani untuk menguatkuasakan cadangan tersebut?

2) Apakah kekerapan pengubahsuaian tahap gaji minima ini? (Sekiranya pengubahsuaian kerap berlaku maka ianya terlalu mengganggu golongan majikan; jika terlalu jarang, maka ianya kelihatan tidak adil.)

3) Siapakah yang sebenarnya mempunyai suara dan kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu gaji minima ini? Adakah ianya hanya golongan politikus, terutamanya dari sesebelah pihak sahaja? Atau para birokrat? Apakah jaminan Kerajaan Persekutuan bahawa golongan pekerja akan punya hak bersuara dalam hal ini?

Dalam pada itu, memandangkan betapa pentingnya tenaga pekerja dalam membangunkan Malaysia, saya menyarankan suatu “Kontrak Baru” (New Deal) buat golongan pekerja tak kira yang baru mula atau sudah lama bekerja:

1) Penetapan gaji minima, atau lebih tepat, gaji sara hidup yang mencukupi;

2) Pelepasan cukai RM5,000 setahun bagi pendidikan berterusan (continuous education) bagi memantapkan dan meningkatkan tahap kemahiran;

3) Program “Kereta Pertama Ku”, di mana pembelian kereta pertama dibebaskan dari bayaran cukai;

4) Kadar cukai pendapatan individu dihadkan kepada 15% bagi pekerja berumur 50 tahun ke atas;

5) Perlindungan takaful RM500,000 percuma kepada para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP);

6) Cuti Bersalin Suami (paternity leave) selama 30 hari;

7) Hak berpersatuan bagi pekerja dalam kesemua sektor.

Bagi yang bertanya bagaimana 7 janji “Kontrak Baru” di atas dapat dilunaskan, maka ianya berpandukan 7 langkah berikut:

1) Penambahan produktiviti;

2) Penghapusan subsidi korporat (yang diberi kepada pemegang konsesi tol, penjana kuasa bebas atau IPP, dsb);

3) Penghapusan ketirisan ekonomi;

4) Penghapusan malapetaka rasuah;

5) Penggunaan bermandat khazanah minyak dan gas asli negara;

6) Pentadbiran kerajaan yang lebih baik;

7) Reformasi politik yang menyeluruh, seperti yang telah saya jelaskan dalam Akta Pemansuhan Darurat (APD).

Akhir kata, janganlah kita sesekali melupakan jasa, budi, dan bakti yang telah ditabur kaum pekerja. Semoga suatu hari nanti penghormatan yang cukup setimpal akhirnya akan dapat kita hulurkan kepada mereka ini yang berjuang demi pembangunan tanah air tercinta.

http://www.nurulizzah.com/site/2011/05/01/kontrak-baru-buat-para-pekerja/-"